KUCHING: Seramai 851 graduan Sarawak Skills diraikan dalam majlis konvokesyen, sekali gus mencerminkan kejayaan institusi itu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Pengerusi Sarawak Skills, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain berkata, daripada jumlah itu, 579 graduan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Manakala, 224 Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), enam melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) dan 42 daripada program Electrician Low Voltage Chargeman (L1),jelasnya.
“Sarawak Skills turut mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 93 peratus.
“Ini direkod dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian dengan 78 peratus bekerja dalam bidang yang dipelajari.
“Pencapaian ini menunjukkan Sarawak Skills berada di landasan tepat dalam melahirkan tenaga kerja kompeten dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills di Hotel Pullman, di sini, hari ini.
Majlis penyampaian disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tambah Abdul Aziz, Sarawak Skills kini mempunyai lebih 90,000 alumni, sembilan cawangan dan 88 ahli daripada sektor kerajaan serta industri akan terus memperluas latihan berasaskan industri bagi memenuhi keperluan tenaga kerja Sarawak.
Dalam majlis berkenaan juga, seramai 29 graduan turut menerima Anugerah Industri, selain pengenalan Anugerah Graduan Cemerlang Yayasan Sarawak buat julung kalinya. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
