Jangan mudah melatah provokasi media sosial, nasihat Annuar kepada KMKK

SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diingatkan supaya tidak mudah melatah dengan kritikan dan provokasi di media sosial.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, sebaliknya ia menjadikan pandangan masyarakat sebagai ruang memperbaiki mutu kepimpinan dan penyampaian perkhidmatan.

Katanya, perkembangan media sosial yang begitu pantas menyebabkan setiap isu dan komen boleh tersebar luas dalam masa singkat.

Menurutnya, pemimpin masyarakat perlu bijak menangani situasi sedemikian tanpa terheret dalam pertelingkahan terbuka yang tidak membawa manfaat kepada masyarakat.

“Media sosial sangat berkuasa. Apa sahaja yang ditulis boleh tersebar ke seluruh dunia dan kita tidak mampu menghentikannya begitu sahaja.

“Sebab itu, kita perlu meneliti setiap komen, melihat perkara yang dibangkitkan dan mengambil tindakan sewajarnya, tetapi jangan melayan provokasi atau membalas setiap komen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Penutupan Program Peningkatan Profesionalisme Institusi Kampung dan Masyarakat DUN N.55 Nangka Tahun 2026 di sini hari ini.

Dr Annuar berkata, kritikan yang diterima tidak semestinya perlu dianggap sebagai serangan peribadi kerana ada antaranya mengandungi pandangan membina yang boleh membantu pemimpin mengenal pasti kelemahan dalam kawasan masing-masing.

“Saya sendiri mengambil pendekatan meneliti komen masyarakat di media sosial dan menggunakan maklum balas berkenaan sebagai panduan untuk memperbaiki kelemahan serta mengambil tindakan yang diperlukan.

“Tindakan membalas setiap provokasi hanya akan memanjangkan pertelingkahan dan menyukarkan usaha membetulkan sesuatu keadaan,” jelasnya.

Menurutnya, pemimpin akar umbi perlu kekal fokus terhadap tanggungjawab utama mereka, iaitu mendekati rakyat, mendengar masalah serta membantu mencari penyelesaian.

“Suasana menjelang pilihan raya lazimnya menyaksikan peningkatan pelbagai pandangan dan kritikan, justeru KMKK perlu terus memainkan peranan sebagai pemimpin yang matang serta mengutamakan keharmonian masyarakat.

Dr Annuar turut mengingatkan KMKK supaya memahami dasar dan hala tuju kerajaan agar dapat membantu menyampaikan maklumat tepat kepada penduduk serta memastikan inisiatif pembangunan kerajaan sampai kepada golongan sasar.

“Perpaduan dan kerjasama antara kaum perlu terus diperkukuh kerana kekuatan Sarawak terletak pada kemampuan masyarakatnya hidup bersama walaupun mempunyai latar belakang dan pandangan berbeza,” ujarnya lagi.