KUCHING: Pelajar institusi pengajian tinggi diingatkan supaya tidak terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) sehingga mengabaikan kemampuan berfikir secara kritis dan menghasilkan idea sendiri.
Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Pengetahuan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Muzamir Othman @ Marzuki berkata, teknologi AI seharusnya dimanfaatkan sebagai alat membantu pembelajaran dan bukannya menggantikan pemikiran manusia.
Menurutnya, generasi muda perlu menjadi Smart Gen Z yang bukan sahaja celik teknologi, malah kreatif, inovatif dan bijak membuat keputusan.
“Gunakan teknologi AI untuk memperluas pengetahuan dan mendapatkan idea.
“Namun jangan terlalu bergantung kepadanya sehingga mengabaikan kemampuan berfikir dan menganalisis sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan dan Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Kolej SIDMA Sarawak di Dewan Toh Puan Dayang Masniah, Jalan Ajibah Abol, di sini, hari ini.
Muzamir turut menegaskan bahawa pendidikan tinggi bukan sekadar memperoleh kelayakan akademik, tetapi juga membentuk sahsiah dan kemahiran bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Kolej SIDMA Sarawak, Abdul Qayyum Murni dalam ucapan aluannya berkata, disiplin, integriti dan tanggungjawab merupakan tiga asas penting yang perlu diamalkan pelajar untuk mencapai kejayaan.
“Jadikan disiplin sebagai budaya hidup, sentiasa berlaku jujur dalam setiap tindakan dan bertanggungjawab terhadap setiap pilihan yang dibuat.
“Kejayaan sebenar ialah kejayaan yang diperoleh melalui usaha, kejujuran dan kesungguhan sendiri,” katanya.
Tambah Abdul Qayyum, pihak kolej komited menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif serta bimbingan bagi melahirkan graduan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya menghargai pengorbanan ibu bapa, menghormati pensyarah dan memanfaatkan peluang pendidikan untuk membina masa depan lebih baik.
Seramai 576 pelajar baharu Kolej SIDMA Sarawak melafazkan ikrar pada majlis tersebut yang melibatkan pelajar kemasukan November 2025 hingga November 2026 yang mengikuti pelbagai program pengajian peringkat prajazah, diploma dan ijazah sarjana muda.– NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
