SIBU: Urusan mendapatkan bantuan kerajaan perlu dipermudah dan tidak dibebankan dengan kerenah birokrasi, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Katanya, ini bagi memastikan golongan yang memerlukan dapat menerima sokongan dengan lebih cepat dan berkesan.
Beliau berkata, agensi pelaksana juga perlu lebih proaktif dengan turun padang bagi mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat, bukan sekadar menguruskan program dari pejabat.
Pendekatan itu katanya, penting bagi memastikan setiap bantuan yang disediakan memberi manfaat kepada kumpulan sasaran, khususnya masyarakat di luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Seminar Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak bersempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026 Zon Tengah, hari ini.
Awang Tengah berkata, program seperti Ziarah Mahabbah menjadi platform penting untuk mendapatkan maklum balas daripada masyarakat memandangkan keperluan penduduk di bandar, luar bandar dan pedalaman berbeza.
Katanya, usaha membantu golongan terjejas juga tidak boleh dipikul oleh satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama dan penyelarasan antara jabatan serta agensi berkaitan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awg Suhaili Ledi, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said dan Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad.
