Konvensyen Khas Parti PBB Zon Selatan tampil dua taklimat utama

KUCHING: Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara fokus utama Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Selatan 2026, pada 15 November ini.

Konvensyen tersebut yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad ini akan dihadiri lebih 3,000 ahli-ahli dari 82 cawangan parti.

Konvensyen itu menampilkan dua sesi taklimat khas sebelum majlis perasmian yang dijadual disempurnakan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Taklimat pertama bertajuk Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) dijadual disampaikan Naib Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Martin Ben pada jam 8.15 pagi.

Ia disusuli taklimat kedua bertajuk ‘Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)’ oleh Penolong Setiausaha Agung Parti merangkap Timbalan Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada jam 9 pagi.

Majlis perasmian pula dijadual bermula dengan ketibaan para jemputan dan dif kenamaan pada jam 10 pagi, diikuti ketibaan Abang Johari pada jam 10.30 pagi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB dan Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Khas Parti PBB Zon Selatan, Datuk Amar Fadillah Yusof dijadual menyampaikan ucapan aluan pada jam 11.05 pagi.

Acara kemuncak konvensyen ialah amanat dan ucapan perasmian oleh Abang Johari pada jam 11.40 pagi, diikuti simbolik perasmian pada jam 12.30 tengah hari.

Majlis diteruskan dengan lafaz ikrar Parti PBB dan penyerahannya kepada Yang di-Pertua Parti PBB, sebelum penyampaian cenderamata serta nyanyian lagu GPS, ‘Utamakan Sarawak’.

Konvensyen dijadual berakhir pada jam 1 petang.