KUCHING: AirBorneo menyasarkan pembukaan laluan penerbangan ke Bangkok, Thailand pada suku pertama 2027.
Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pertambahan jumlah pesawat syarikat penerbangan milik Sarawak itu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perbincangan bagi mendapatkan kelulusan pendaratan di Bangkok sudah dilakukan sebagai persediaan membuka laluan berkenaan.
Menurutnya, AirBorneo memerlukan sekurang-kurangnya lima pesawat untuk memperluas rangkaian penerbangannya berbanding dua pesawat ketika ini.
“Kita mempunyai dua pesawat pada masa ini dan memerlukan tambahan tiga lagi pesawat untuk melaksanakan perancangan tersebut,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penerbangan Terus Kuching-Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak turut menyasarkan pembukaan laluan itu sebelum Sukan SEA 2027, selain mengadakan rundingan bagi membolehkan AirBorneo menjadi antara syarikat penerbangan rasmi untuk temasya berkenaan di Sarawak.
“Selain Bangkok, Korea Selatan termasuk Seoul dan Pulau Jeju turut dikenal pasti sebagai destinasi berpotensi untuk memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa AirBorneo,” ujarnya.
Beliau berkata, pengembangan laluan penerbangan itu turut mengambil kira potensi sektor pelancongan dan pelancongan perubatan, selain keupayaan menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak.
Beliau berkata, usaha berkenaan disokong pembangunan kemudahan penginapan dan persidangan termasuk hotel antarabangsa serta Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bagi meningkatkan keupayaan Sarawak menarik acara bertaraf antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo Airways Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin.
