Pesta Ambeng satukan warisan Jawa

KUCHING: Pemeliharaan warisan budaya perlu bergerak seiring dengan penguasaan teknologi digital bagi memastikan generasi muda tidak kehilangan identiti bangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, masyarakat bukan sahaja perlu memahami perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), malah berupaya menggunakannya secara bijak dan beretika.

“Kita perlu menguasai teknologi, bukan sekadar menjadi pengguna.

“Perkembangan AI yang semakin pesat menuntut kita untuk terus belajar dan memahami teknologi supaya tidak ketinggalan,” katanya ketika merasmikan Program Semarak Seni Jawa (SEJIWA) Pesta Ambeng 2.0, di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati terhadap penyalahgunaan AI, penyebaran berita palsu dan penipuan dalam talian, termasuk tawaran pekerjaan yang menjanjikan pulangan lumayan tetapi tidak mempunyai kesahihan.

“Jangan mudah percaya atau menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.

“Kita juga perlu melindungi telefon bimbit, akaun digital dan maklumat peribadi daripada ancaman penipuan serta penggodaman,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan pendidikan teknologi dan keselamatan siber diperluas hingga ke peringkat kampung bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai AI dan penipuan dalam talian.

Beliau berkata, Pesta Ambeng yang pernah menghimpunkan 873 pengunjung pada 2017 kembali dianjurkan tahun ini bagi mengetengahkan warisan masyarakat Jawa di Sarawak.

Berlangsung selama dua hari, SEJIWA atau Pesta Ambeng 2.0 menampilkan bengkel masakan tradisional, persembahan tarian, pertandingan nyanyian lagu Jawa dan pameran kebudayaan dengan sasaran menarik kira-kira 1,000 pengunjung.