Sarawak berupaya cipta teknologi, produk sendiri

KUCHING: Sarawak mahu memanfaatkan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi data bagi menjana pertumbuhan ekonomi baharu serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tenaga dan data merupakan dua komponen penting dalam menentukan hala tuju pembangunan ekonomi negeri pada masa hadapan.

Menurutnya, pembangunan pusat data tidak seharusnya tertumpu kepada penyimpanan maklumat semata-mata, sebaliknya perlu memberi manfaat ekonomi melalui pembangunan teknologi, inovasi dan peluang pekerjaan.

“Kita tidak mahu pusat data hanya berfungsi sebagai tempat penyimpanan maklumat tanpa menghasilkan nilai ekonomi yang besar.

“Sebaliknya, data tersebut perlu dimanfaatkan untuk membangunkan teknologi, menghasilkan inovasi dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-75 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam ini.

Beliau berkata, dunia kini bergerak ke arah Revolusi Industri Kelima yang menyaksikan penggunaan AI, robotik dan automasi semakin meluas dalam pelbagai sektor ekonomi.

Katanya, perkembangan itu bukan sahaja mengubah cara industri beroperasi, malah turut mempengaruhi proses pengeluaran produk dan penyampaian perkhidmatan.

Abang Johari berkata, teknologi pusat data dijangka mengalami perubahan besar dalam beberapa tahun akan datang.

Ia sejajar dengan perkembangan AI yang membolehkan pemprosesan maklumat dilakukan dengan lebih pantas dan dalam masa nyata,ujarnya.

Menurutnya, data kini dianggap sebagai minyak masa hadapan kerana pembangunan ekonomi semakin bergantung kepada keupayaan memperoleh, memproses dan memanfaatkannya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Sarawak tidak boleh ketinggalan dalam penguasaan AI, teknologi kuantum dan robotik, malah perlu membangunkan keupayaan mencipta teknologi serta produk sendiri.-NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI