KUCHING: Cadangan pembinaan sebuah Kompleks Pendidikan Khas di Sarawak mendapat sokongan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Dato Sri Nancy Shukri.
Menurutnya, kompleks tersebut bertujuan menyediakan kemudahan pendidikan dan pembangunan kemahiran kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
Beliau berkata, cadangan tersebut merupakan satu usaha yang baik, namun permohonan rasmi perlu dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut prosedur yang ditetapkan.
Jelasnya, pihak sekolah boleh mendapatkan nasihat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengenai kaedah dan saluran yang sesuai untuk mengemukakan permohonan berkenaan.
“Saya amat menyokong visi dan usaha pihak sekolah untuk membangunkan kemudahan seperti ini.
“Permohonan tersebut juga boleh disalinkan kepada saya supaya dapat membantu membawa perkara itu kepada pihak berkaitan,” katanya.
Nancy berkata demikian dalam ucapan semasa merasmikan Majlis Apresiasi dan Motivasi Murid Berkeperluan Khas (MPBK) Sekolah Kebangsaan Astana di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak, di sini, hari ini.
Justeru, beliau berharap cadangan itu dapat direalisasikan sekali gus menjadi antara kompleks pendidikan khas yang pertama seumpamanya di Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek berkenaan perlu mengambil kira bidang kuasa serta peraturan yang ditetapkan oleh KPM.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan kemahiran hidup bagi membantu kanak-kanak berkeperluan khas membina keyakinan, menguruskan diri dan berdikari mengikut kemampuan masing-masing.
“Usaha ini penting bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran asas untuk menjalani kehidupan seharian.
“Ini khususnya apabila ibu bapa atau penjaga mereka sudah tiada,”tegasnya.
Dalam masa sama, Nancy turut menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru dalam mendidik serta menjaga kanak-kanak berkeperluan khas yang memerlukan kesabaran dan komitmen tinggi. -NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
