Percepat projek SMK Balingian

BALINGIAN: Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balingian perlu dipercepat bagi memastikan pelajar di kawasan itu mendapat akses kemudahan pendidikan menengah yang lebih baik.

Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Balingian, Dr Abdul Yakub Arbi berkata, kewujudan sekolah itu penting bagi memenuhi keperluan pendidikan selain menyokong pembangunan kawasan berkenaan.

Katanya, kemudahan pendidikan yang mencukupi amat diperlukan supaya pelajar dapat mengikuti pembelajaran dalam persekitaran selamat, selesa dan kondusif.

“Sehubungan itu, saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan agensi berkaitan dapat memberi keutamaan kepada projek ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, perkara berkenaan termasuk aspek perancangan, kelulusan, penyediaan peruntukan serta pelaksanaan projek mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata, pembangunan sektor pendidikan perlu diberi perhatian kerana ia menjadi asas penting dalam melahirkan modal insan berkualiti dan menentukan masa depan generasi muda.

“Pelaksanaan lebih pantas bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah mencerminkan usaha kerajaan memastikan pembangunan seimbang serta akses pendidikan yang lebih adil untuk masyarakat di Balingian,” katanya.