LAWAS: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia(SKMM) dan syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi perlu bekerjasama mengukuhkan liputan telekomunikasi di Lawas.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini kerana isu itu yang telah lama dan perlu diberi perhatian serius kerana memberi kesan kepada perniagaan seperti menggunakan pembayaran digital e-payment.
Di samping itu katanya, isu berkenaan juga memberi kesan kepada perkhidmatan kerajaan serta segala aspek kehidupan rakyat di Lawas.
“Kalau sudah ada keramaian, untuk menggunakan telefon adalah susah kerana tidak ada talian ( liputan telekomunikasi) dan juga beberapa tempat sepanjang jalan pun ada titik buta dan ada liputan itu tidak begitu kuat,” katanya.
Beliau demikian pada perasmian Program Jalinan Kasih SACOFA 2026 Lawas di sini, hari ini.
Beliau turut menyampaikan sumbangan makanan kepada warga emas, golongan asnaf, ibu tunggal dan beberapa surau terpilih di Hotel Roxy, di sini.
Sehubungan itu Awang Tengah mahu semua pihak merealisasikan segala perancangan dan tindakan untuk meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi di Lawas dan seluruh Sarawak.
