Pelan pemulihan mangsa kebakaran Rumah Anyie diselaras

SPAOH: Sebanyak 28 keluarga mangsa kebakaran Rumah Panjang Anyie, Matop, Paku, bakal menerima bantuan RM10,000 setiap keluarga bagi membina kediaman sementara sementara menunggu rumah panjang baharu didirikan.

Langkah itu merupakan antara usaha segera Kerajaan Sarawak bagi memastikan semua mangsa mempunyai tempat berteduh dan kebajikan mereka terus terpelihara selepas kehilangan tempat tinggal.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan menggerakkan pelbagai bentuk bantuan termasuk penyediaan tapak penempatan dan pembinaan rumah panjang baharu.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan ziarah susulan bersama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, bagi meninjau keadaan mangsa serta perkembangan usaha pemulihan di Matop petang tadi.

“Susah atau senang, kami sebagai wakil rakyat akan sentiasa berusaha membantu rakyat, khususnya mereka yang sedang menghadapi musibah seperti mangsa kebakaran di Matop,” katanya.

Bantuan RM10,000 menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bertujuan membantu setiap keluarga membina kediaman sementara sebelum rumah panjang baharu siap dibina.

Bagi pembinaan rumah panjang baharu, mangsa turut layak menerima Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) sehingga RM70,000 setiap keluarga serta kemudahan Skim Pinjaman Perseorangan Rumah Panjang (PKPRP) melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak.

Dalam perkembangan sama, tapak penempatan sementara sudah dikenal pasti hasil perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Survei Bahagian Betong, manakala kerja pembersihan kawasan akan dilaksanakan menggunakan peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Sementara menunggu penempatan disediakan, semua mangsa akan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Panglima Rentap, Betong.

Pelaksanaan pelan pemulihan itu akan diselaraskan bersama Pejabat Residen Betong, Pejabat Daerah Betong, JKM, Pejabat Tanah dan Survei serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong.

Pejabat Residen Betong akan menyelaras permohonan peruntukan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Betong kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), manakala JKR akan menjalankan penilaian teknikal serta menyediakan anggaran kos pembinaan.

Uggah turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga terjejas.

Kebakaran pada Sabtu lalu memusnahkan Rumah Panjang Anyie yang dibina sejak 1943, menyebabkan 28 keluarga kehilangan kediaman dan harta benda. Bagaimanapun, tragedi itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.