KUCHING: Komuniti Saudara Kita mempunyai peranan penting sebagai sebahagian daripada kekuatan pembangunan Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia bagi merealisasikan aspirasi negeri yang menekankan kemakmuran ekonomi, kebersamaan sosial dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, pengalaman, ilmu dan kebolehan yang dimiliki komuniti berkenaan merupakan aset berharga yang boleh terus dikembangkan untuk manfaat masyarakat.
“Pembangunan Sarawak bukan sahaja diukur dari kemajuan ekonomi, malah turut memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, bahasa dan budaya.
“Semangat kebersamaan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan Sarawak perlu terus dipelihara selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Konvensyen Saudara Kita Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 di Hotel Imperial di sini, hari ini.
Jelas beliau, kerjasama antara institusi agama, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan kepimpinan masyarakat perlu terus diperkukuh bagi memastikan komuniti Saudara Kita di seluruh Sarawak mendapat akses kepada peluang pembangunan. – IQHWAN HAMDAN/JIWA BAKTI
