Sarawak guna dana sendiri urus pembangunan

LAWAS: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh keupayaan kewangan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan menggunakan dana sendiri, tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kesukaran mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, termasuk bagi projek yang telah diluluskan, mendorong kerajaan negeri mencari sumber pendapatan baharu.

Menurutnya, keadaan itu mendorong Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperkenalkan pelbagai inisiatif yang mampu menjana pendapatan tambahan bagi memperkukuh kedudukan kewangan negeri.

Beliau berkata, terdapat projek yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), namun gagal dilaksanakan berikutan kekangan penyaluran dana.

“Hari ini kita tidak dapat berharap sangat dengan Kerajaan Persekutuan. Ada projek yang diluluskan, tetapi peruntukan kewangan tidak disalurkan sehingga projek tidak dapat dilaksanakan.

“Bayangkan, bekalan air merupakan keperluan kritikal, namun projek berkaitan masih berdepan masalah peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Pengalih Lakutan, di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, komitmen Kerajaan Sarawak dalam menangani isu bekalan air turut dibuktikan melalui penyediaan peruntukan RM6.48 bilion dan akan ditambah menggunakan dana kerajaan negeri.

Katanya, keupayaan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjana sumber pendapatan baharu membolehkan Sarawak meneruskan pelaksanaan projek pembangunan penting demi memenuhi keperluan rakyat.

Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.