Seimbangkan peluang, penyertaan wanita

KUCHING: Wanita perlu diberi peluang lebih luas dalam bidang ekonomi, pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan bagi meningkatkan peranan mereka dalam pembangunan masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penglibatan wanita tidak seharusnya terbatas kepada pengiktirafan dan penyertaan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang sebenar.

Menurutnya, wanita juga perlu diberikan akses saksama kepada sumber kewangan, teknologi digital, pembangunan profesional serta peluang membuat keputusan.

“Kerajaan Sarawak berhasrat melahirkan lebih ramai wanita sebagai usahawan.

“Kita juga mahu melahirkan pemimpin perniagaan, golongan profesional, penggubal dasar dan inovator,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Perasmian Perhimpunan Wanita Antarabangsa Asia Selatan (SIWA 2026) di Hotel Riverside Majestic, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, Kerajaan Sarawak terus memberi penekanan terhadap pembangunan inklusif dan mampan menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Strategi itu merangkumi tiga teras utama, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan penganjuran SIWA 2026 sebagai platform penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama wanita antara Asia Selatan, ASEAN dan masyarakat antarabangsa.

Katanya, perhimpunan selama tiga hari itu diharap dapat menghasilkan kerjasama dalam bidang perniagaan, perkongsian ilmu dan pembangunan kepimpinan wanita.

“Apabila wanita memimpin, masyarakat akan maju. Apabila wanita mencapai kemakmuran, komuniti menjadi lebih kukuh.

“Apabila wanita bersatu, perubahan dapat direalisasikan,” tegasnya.– NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI