LAWAS: Kerjasama erat masyarakat berbilang kaum antara kekuatan utama yang membolehkan Sarawak mengekalkan kestabilan serta meneruskan agenda pembangunan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perpaduan yang terjalin antara masyarakat pelbagai agama, bangsa dan keturunan merupakan aset terbesar negeri ini yang perlu terus dipertahankan.
Menurutnya, keunikan Sarawak terletak pada semangat kerjasama dan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang.
“Hakikatnya, di Sarawak tiada satu kaum pun (dominan). Kita boleh menjadi majoriti kerana kerjasama, setiap kaum bekerjasama antara satu dengan yang lain,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Awang Tengah berkata, kepelbagaian agama, bangsa, keturunan dan bahasa tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan dalam membentuk masyarakat yang harmoni.
“Walaupun kita berbagai agama, bangsa dan keturunan dengan bahasa yang berbeza, namun kekuatan yang ada pada kita ialah kita bersatu padu antara satu sama lain,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan sentimen perkauman dan keagamaan yang sengaja dimainkan pihak tertentu sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, Sarawak juga mempunyai kelebihan dari segi kepimpinan yang stabil serta hala tuju pembangunan yang jelas dengan mengambil kira kepentingan semua kaum.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, negeri ini turut diiktiraf Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi.
“Justeru, saya menggesa rakyat supaya terus mengekalkan perpaduan dan memastikan kestabilan politik negeri terus dipelihara.
“Kita mesti bersatu padu dan memastikan bahawa kerajaan Sarawak, kerajaan yang dipimpin Premier dan Gabungan Parti Sarawak, akan terus memerintah,” tegasnya.
