LAWAS: Kedudukan muka sauk di tebing sungai yang terdedah kepada timbunan sisa kayu dan pokok perlu dikaji semula bagi memastikan proses pengambilan air mentah ke loji rawatan tidak terganggu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penempatan muka sauk di bahagian tengah sungai wajar dipertimbangkan kerana kebanyakan sisa yang dibawa arus lazimnya bergerak ke arah tebing.
Beliau berkata, reka bentuk sedia ada menempatkan kebanyakan kemudahan pengambilan air di tebing sungai berisiko menyebabkan aliran air mentah terjejas apabila sisa terkumpul di kawasan berkenaan.
“Paip pengambilan air sepatutnya berada di tengah sungai supaya tidak terhalang oleh sisa yang dibawa arus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Loji Rawatan Air Baharu di Lawas, hari ini.
Abang Johari berkata, aspek reka bentuk muka sauk penting kerana air mentah yang diambil dari sungai perlu melalui proses rawatan sebelum disalurkan kepada pengguna menerusi sistem paip.
Beliau turut merujuk kejadian di Mukah apabila timbunan sisa kayu dan pokok menghalang sistem pengambilan air di tebing sungai sehingga menjejaskan aliran air ke loji rawatan.
“Sehubungan itu, saya meminta pihak berkaitan mengkaji semula reka bentuk dan kedudukan muka sauk bagi memastikan sistem pengambilan air mentah dapat beroperasi dengan lebih lancar.
“Ini bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi serta yang lain.
