Pantai Belawai bakal dinaik taraf, destinas pelancongan baharu

TANJUNG MANIS: Pantai Belawai bakal berubah wajah menerusi projek naik taraf bernilai RM161 juta yang dijangka ditender tahun depan, sekali gus membuka potensi kawasan itu sebagai destinasi pelancongan baharu di wilayah tengah Sarawak.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek berkenaan adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang sejak lebih 15 tahun lalu.

“Reka bentuk projek ini kini melalui proses penambahbaikan dan sudah berubah sehingga kira-kira 25 versi bagi memastikan pembangunan yang dirancang memenuhi keperluan kawasan serta mempunyai nilai tarikan tersendiri.

“Insya-Allah, projek ini akan ditender tahun depan dan dijangka mengambil masa kira-kira tiga setengah tahun untuk disiapkan selepas kerja bermula,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Belawai 2026, hari ini.

Menurutnya, usaha membangunkan Pantai Belawai sebagai kawasan tarikan sudah dimulakan sejak 2014 menerusi peruntukan RM3 juta yang diumumkan kerajaan negeri, selain RM500,000 daripada Kementerian Pelancongan Persekutuan untuk pentas.

“Perhubungan semakin baik termasuk pembinaan Jambatan Batang Paloh, Batang Lassa, Batang Igan dan Jambatan Tunku Haji Bujang turut meningkatkan akses ke Belawai, sekali gus mengukuhkan potensi pelancongan kawasan ini.

“Ia bukan hanya untuk manfaat penduduk Belawai, tetapi menjadi pemangkin ekonomi dan membuka peluang kepada penduduk memasarkan produk kepada pengunjung,” katanya.