KUCHING: Sarawak berpotensi muncul sebagai hab inovasi digital mampan serantau dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidro, solar dan hidrogen hijau.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, UKAS dan Penerangan), Datuk Abdullah Saidol berkata, peningkatan permintaan tenaga elektrik global susulan perkembangan AI, pusat data dan sektor perindustrian membuka peluang besar kepada Sarawak.
“Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengunjurkan permintaan elektrik global meningkat 3.6 peratus pada 2026 dan 3.8 peratus (2027).
“Kelebihan sumber tenaga hijau Sarawak mampu menarik pelaburan dalam pembangunan pusat data, operasi blockchain, perniagaan Web3 dan teknologi AI,” katanya ketika berucap pada Persidangan Blockchain Borneo (BBCON) 2026 di Hotel Voco di sini, hari ini.
Jelasnya, pembangunan teknologi blockchain perlu mengutamakan sistem cekap tenaga, selamat dan mampan bagi menyokong aspirasi tenaga hijau negeri.
Abdullah berkata, blockchain turut berpotensi dimanfaatkan dalam pembiayaan hijau, pengesahan kredit karbon, pemuliharaan hutan serta pemantauan alam sekitar.
Ujarnya, teknologi itu juga boleh meningkatkan ketelusan rekod kredit karbon daripada hutan dan projek pemuliharaan sekali gus memperkukuh keyakinan antarabangsa terhadap usaha kelestarian Sarawak.
“Penerokaan aset dunia sebenar berpotensi membuka peluang pembiayaan baharu bagi projek tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur hijau,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, Sarawak bukan sahaja berpeluang menjadi destinasi pelaburan digital, malah berpotensi muncul sebagai pusat inovasi digital mampan di rantau ini.
