KUCHING: Universiti perlu memperkukuh tiga peranan utama dalam pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi serta pengkomersialan bagi menyokong agenda ekonomi digital Sarawak.
Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Datuk Prof. Dr Firdaus Abdullah berkata, ketiga-tiga aspek itu penting bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta menghasilkan inovasi yang memenuhi keperluan industri dan masyarakat.
“Universiti perlu melahirkan graduan yang menguasai teknologi blockchain, kecerdasan buatan (AI) dan kontrak pintar, selain mempunyai asas etika serta pemikiran kritis,” katanya dalam ucapan aluan pada Persidangan Borneo Blockchain (BBCON) 2026 di Hotel Voco, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, UKAS dan Penerangan), Datuk Abdullah Saidol merasmikan persidangan itu.
Jelasnya lagi, universiti perlu mempergiat penyelidikan dan inovasi dalam bidang yang relevan dengan Sarawak, termasuk tokenisasi tenaga hijau, kebolehkesanan rantaian bekalan mampan serta identiti digital yang selamat.
Ujarnya, platform seperti BBCON menyediakan peluang kepada ahli akademik untuk memahami cabaran industri dan membangunkan penyelesaian melalui kerjasama strategik.
Beliau turut menegaskan bahawa hasil penyelidikan universiti perlu diterjemahkan kepada inovasi yang boleh dikomersialkan, sekali gus memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.
Sehubungan itu, Platform Inovasi dan Bakat pada persidangan berkenaan memberi peluang kepada pelajar, penyelidik dan penggiat teknologi tempatan mempersembahkan idea kepada pelabur antarabangsa serta pemimpin industri.
Menurutnya, teknologi blockchain juga berpotensi diperluaskan dalam sektor akademik, khususnya bagi pengesahan kelayakan, profil dan kompetensi individu, selain meningkatkan keselamatan infrastruktur digital. — IQHWAN HAMDAN/ JIWA BAKTI
