Loji Air Pengalih Lakutan perkukuh bekalan air Lawas

LAWAS: Projek pembinaan Loji Rawatan Air Pengalih Lakutan bernilai RM160.68 juta yang dijangka siap pada 8 Disember 2028, bakal meningkatkan kestabilan bekalan air di Daerah Lawas.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 20 juta liter sehari (JLH), yang boleh dinaik taraf kepada 60 JLH pada masa hadapan.

Beliau berkata, projek itu turut merangkumi pembinaan muka sauk air mentah berkapasiti 20 JLH dan telah bermula, 8 Jun 2026.

“Sehingga kini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 1.34 peratus,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Pecah Tanah Loji Rawatan Air Pengalih Lakutan, di sini, semalam. Majlis itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut Julaihi, apabila siap kelak, loji baharu itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat sekali gus membantu mengatasi masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan akibat kekangan kapasiti sistem sedia ada.

Katanya, Loji Rawatan Air Pengalih Lakutan bersama Loji Rawatan Air Trusan Baharu akan berperanan sebagai loji utama bagi sistem bekalan air di Daerah Lawas.

“Inisiatif itu selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak bagi memenuhi keperluan semasa serta menyokong pembangunan daerah berkenaan pada masa hadapan,” ujarnya.

Mengulas gangguan bekalan air yang berlaku baru-baru ini, Julaihi berkata, kejadian itu berpunca daripada perubahan aliran sungai susulan tebing sungai pecah sehingga menyebabkan pengumpulan pasir dan mendapan tanah di muka sauk Loji Rawatan Air Trusan.

“Gangguan bekalan air yang berlaku baru-baru ini di Daerah Lawas telah menimbulkan kesulitan kepada penduduk serta menjejaskan aktiviti harian dan perniagaan,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak yang telah bertungkus lumus, dengan sokongan Sarawak Water dan agensi berkaitan, dalam usaha memulihkan bekalan air.

“Hasil usaha tersebut, loji kini kembali beroperasi pada kapasiti penuh, manakala usaha menstabilkan tekanan dan bekalan air masih diteruskan, khususnya di kawasan jauh dan berkedudukan tinggi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada penduduk Lawas atas kesulitan yang dialami selain menggesa JBALB Sarawak meneruskan pemantauan rapi sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

Julaihi berkata, Kerajaan Sarawak akan terus mengutamakan pembangunan infrastruktur bekalan air menerusi pelaksanaan projek baharu, penaiktarafan kemudahan sedia ada serta peningkatan kecekapan pengurusan dan pengoperasian sistem bekalan air.

Katanya, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi bersama JBALB Sarawak akan memperkukuh pemantauan serta penyelarasan pelaksanaan projek bagi memastikan kemudahan yang dirancang dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat.