LAWAS: Lawas, bandar paling utara di negeri ini berpotensi sebagai destinasi pelancongan baharu di Sarawak, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, potensi itu berdasarkan kerancakkan pembangunan kawasan pesisir Teluk Brunei dan cadangan pembinaan pelabuhan baharu, hotel serta kemudahan rekreasi.
Kawasan tersebut berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung, katanya ketika merasmikan pembukaan Pusat Pentadbiran Lawas di sini, hari ini.
Premier Sarawak berkata, antara aktiviti rekreasi yang boleh diketengahkan termasuk perahu layar dan jet ski, selain pembangunan kemudahan sokongan.
Pembangunan infrastruktur yang mempunyai nilai estetika dan reka bentuk unik turut mampu menjadi tarikan pelancongan, seperti Jambatan Ikonik Bandar Lawas yang dijangka menjadi mercu tanda baharu kawasan itu, tegas beliau.
Reka bentuk jambatan berkenaan yang disifatkan mirip jambatan di Budapest, Hungary, katanya, sudah menarik perhatian pengguna media sosial meskipun belum dirasmikan.
“Saya lihat ramai orang di media sosial suka dengan jambatan kita. Belum rasmi lagi, tetapi di media sosial sudah ada yang mengatakan, ‘Ya Rabbi, kacak jambatan di Lawas ini’. Jadi, jambatan kita macam di Budapest. Reka bentuknya memang berlainan,” katanya.
Abang Johari berkata, infrastruktur ikonik bukan sekadar menyediakan kemudahan perhubungan, malah berpotensi menarik kedatangan pengunjung dari luar kawasan.
Beliau mengambil contoh pengalaman di Kuching apabila terdapat pelancong dari Singapura yang datang khusus untuk melihat Jambatan Batang Lupar sebelum kembali ke negara mereka.
“Perkembangan itu menunjukkan mercu tanda infrastruktur mampu menjadi tarikan tersendiri, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada kawasan sekitarnya,” ujarnya.
