Lawas, Limbang nikmati bekalan elektrik lebih stabil

LAWAS: Sarawak Energy komited terus memperkukuh kebolehpercayaan bekalan elektrik di seluruh Sarawak, termasuk Wilayah Utara, menerusi usaha berterusan meningkatkan infrastruktur bekalan elektrik di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Ruslan Abdul Ghani berkata, kejayaan menghubungkan kedua-dua daerah berkenaan ke grid elektrik Sarawak merupakan pencapaian penting dalam meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Wilayah Utara.

“Dengan Lawas dan Limbang kini terhubung ke grid elektrik Sarawak, daya tahan sistem bekalan elektrik dapat diperkukuh bagi memastikan bekalan yang lebih stabil dan boleh dipercayai kepada pengguna.

“Infrastruktur ini menyediakan asas lebih kukuh untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat, menyokong pembangunan ekonomi setempat serta merancang peluasan bekalan elektrik ke kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pelancaran simbolik sambungan grid 275kV ke Lawas dan Limbang itu disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Trusan, Lawas hari ini, sempena Majlis Pecah Tanah Projek Loji Rawatan Air Trusan Baharu.

Penyambungan daerah Limbang dan Lawas ke grid elektrik Sarawak telah lengkap pada Julai 2026, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penjanaan elektrik berasaskan diesel.

Kedua-dua daerah kini mendapat manfaat daripada sistem bekalan elektrik yang sebahagian besarnya berteraskan penjanaan hidroelektrik, iaitu sumber tenaga boleh baharu utama di Sarawak.

“Ini selaras dengan komitmen Sarawak Energy untuk menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai, mampan dan mampu milik bagi menyokong pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat Sarawak,” jelasnya.

Lawas terlebih dahulu disambungkan ke grid elektrik Sarawak selepas infrastruktur penghantaran ditauliahkan pada November 2025, dengan bekalan elektrik mula disalurkan pada 4 Disember tahun sama.

Sementara itu, Limbang dihubungkan ke grid elektrik Sarawak pada 31 Julai 2026 menerusi pentauliahan Pencawang Masuk Utama (PMU) 275kV Limbang Town dan pengaktifan talian penghantaran 275kV Bunut-Medamit-Limbang.

Projek sambungan ke Limbang melibatkan kira-kira 228 kilometer talian penghantaran 275kV yang disokong oleh menara penghantaran dan monopol, bermula dari Bunut melalui Medamit hingga ke PMU Bandar Limbang. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI