LAWAS: Tebingan Sungai Lawas berpotensi menjadi antara kawasan tebingan sungai tercantik di Sarawak menerusi cadangan menaik taraf kawasan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu bagi memperindah landskap bandar serta meningkatkan daya tarikan daerah itu.
Katanya, beliau bersetuju dengan cadangan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan supaya kawasan tersebut dibangunkan dengan lebih menarik.
Bagaimanapun, katanya, kelulusan terhadap cadangan pembangunan itu hanya boleh dipertimbangkan selepas pembentukan kerajaan baharu susulan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
“Saya bersetuju dengan Datuk Amar Awang Tengah untuk menjadikan Tebingan Sungai Lawas tercantik di wilayah ini.
“Tetapi dengan satu syarat, saya tidak dapat meluluskannya pada hari ini kerana saya tidak ada kuasa.
“Mandat saya telah ‘colop’ pada 23 hari bulan lalu. Tetapi jika diberi balik mandat pada 12 Disember nanti, insya-Allah ini akan berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas di sini malam tadi.
Terdahulu, Awang Tengah dalam ucapan aluannya, menyuarakan hasrat supaya Tebingan Sungai Lawas dinaik taraf bagi melengkapi pembangunan infrastruktur bandar, khususnya selepas siapnya Jambatan Bandar Lawas.
Jambatan sepanjang 642 meter (m) yang dibina dengan kos RM149.86 juta itu siap sepenuhnya pada 15 Oktober 2026.
Infrastruktur yang menghubungkan Jalan Pulau Salam dengan Kampung Ladang Baru merentasi Sungai Lawas itu bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk.
Malah, memperkukuh jaringan perhubungan menerusi Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) ke arah Merapok dan sempadan Sabah.
Pada majlis tersebut, Abang Johari turut menyaksikan pengiktirafan terhadap dua projek di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), iaitu NCH dan Jambatan Bandar Lawas menerusi Malaysia Book of Records (MBOR) serta Anugerah Kecemerlangan Hijau dan Geopark (GAGA) 2026.
Projek NCH menerima pengiktirafan MBOR bagi kategori Largest 3D Printed Civil Infrastructure Model, manakala Jambatan Bandar Lawas diiktiraf bagi kategori Struktur Kabel Hiasan Terpanjang yang Dipasang pada Jambatan Jenis Julur Seimbang di Malaysia.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan yang lain.
