SIBU: Usaha memperluas peluang pemilikan rumah kepada penduduk layak akan terus menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai mereka yang layak terutama pasangan muda dan keluarga berpendapatan rendah, memiliki kediaman sendiri.
“Pelaksanaan agenda perumahan itu bukan sekadar menyediakan tapak atau lot kediaman, sebaliknya turut mengambil kira kemudahan infrastruktur, kemampuan pemohon serta keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Nangka dan Majlis Kesyukuran di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), malam tadi.
Dr Annuar berkata, pendekatan kerajaan dalam pembangunan perumahan kini lebih menyeluruh dengan memastikan setiap penempatan dilengkapi kemudahan asas seperti jalan raya dan infrastruktur lain.
Mengimbas pembangunan perumahan di kawasan Nangka, Dr Annuar berkata, projek Kemuyang sebelum ini menyediakan hampir 800 lot kediaman, namun hanya 176 rumah berjaya dibina pada peringkat awal.
“Justeru, saya mengambil inisiatif memohon kelulusan kerajaan untuk membangunkan Kemuyang Dua yang mampu menempatkan lebih 300 rumah baharu,” ujarnya.
Katanya, projek berkenaan telah diluluskan selepas proses pengambilan tanah dan pembayaran pampasan diselesaikan.
Beliau turut menjelaskan bahawa usaha menyediakan lot perumahan perlu disertai pengagihan yang adil, dengan mengutamakan penduduk asal serta golongan yang benar-benar memerlukan.
“Sehubungan itu, tindakan mengambil semula lot yang diperuntukkan tetapi dibiarkan kosong tanpa pembangunan telah dilaksanakan,” katanya.
