KUCHING: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 akan melabuhkan tirai siri penganjurannya di Metrocity Matang, Kuching pada 24 dan 25 November ini.
Kuching menjadi lokasi ke-12 dan terakhir penganjuran program berkenaan yang bertujuan mendekatkan perkhidmatan serta pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak kepada rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan program itu pada 25 November ini, jam 3 petang di Khemah Utama, Metrocity Matang.
Menurut kenyataan media Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), program dua hari itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan rakan strategik bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat serta perkhidmatan.
Antara tumpuan utama ialah kaunter pertanyaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dan peluang pekerjaan menerusi JobSarawak.
Pengunjung turut berpeluang mendapatkan saringan kesihatan dan kecergasan secara percuma, selain menyertai aktiviti sukaneka rakyat serta Konsert Rakyat.
Selain itu, pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah dan e-Peraduan turut menanti pengunjung sepanjang program berlangsung.
Orang ramai khususnya penduduk Kuching dan kawasan sekitar dijemput hadir bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan serta manfaat yang disediakan.
