LAKIS rancang bina tadika baharu

SIBU: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) merancang membina bangunan baharu tadika bagi menyediakan kemudahan lebih sesuai untuk keperluan pendidikan awal kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Pengerusi LAKIS, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, tadika itu akan dibina berhampiran Masjid An-Nur Sibu membabitkan anggaran kos RM4 juta.

Katanya, Tadika LAKIS di Jalan Kuda yang beroperasi selama 34 tahun akan menghentikan operasi sementara mulai tahun depan sementara menunggu pembinaan premis baharu berkenaan.

“Pelan semua sudah sedia, tapak pun sudah ada di sebelah masjid dan di sebelah sekolah. Kita hanya menunggu kelulusan peruntukan untuk memulakan kerja pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Tadika LAKIS Sesi 2026 di Dewan LAKIS, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelan pembinaan dan tapak berhampiran masjid serta sekolah telah disediakan, namun pelaksanaan projek itu masih menunggu kelulusan peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR).

Beliau menambah, perancangan pembinaan bangunan baharu itu telah dibuat lebih awal bagi memenuhi keperluan serta syarat yang ditetapkan, termasuk aspek lokasi dan keselamatan premis, dan bukan didorong oleh faktor pilihan raya.

Seramai 34 murid berusia lima dan enam tahun diraikan pada majlis berkenaan menerima sijil kecemerlangan serta hadiah.