Abdul Karim sedia pertahan Asajaya

ASAJAYA: Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyambut baik keputusan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 pada 12 Disember ini.

Beliau berkata, keputusan PAS untuk tidak bertanding di tiga kawasan yang sebelum ini disebut iaitu Semariang, Sebuyau dan Beting Maro adalah satu keputusan tepat untuk memelihara perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Beliau turut menyambut baik kenyataan UMNO yang dilihat mempunyai pendirian seiring dalam perkara sama, katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Daerah Asajaya di Kampung Moyan Laut, di sini, hari ini.

Dalam keadaan apabila parti yang bekerjasama dalam pembentukan kerajaan di peringkat pusat boleh menjadi pesaing ketika pilihan raya menimbulkan persoalan mengenai konsistensi hubungan politik antara parti, tegas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Karim menyatakan kesediaan untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan DUN Asajaya sekiranya diberikan kepercayaan oleh parti untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya akan datang.

Abdul Karim yang juga penyandangan kerusi DUN Asajaya menegaskan, selepas lima penggal berkhidmat di kawasan berkenaan, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya parti mahu memberikan peluang kepada calon baharu yang lebih sesuai.

“Sekiranya ada calon baharu atau calon yang lebih sesuai untuk menggantikan saya, saya rela. Namun, sekiranya parti merasakan perlu mengekalkan saya, saya bersedia untuk terus berkhidmat di kawasan ini,” katanya.

Mengenai persiapan menghadapi pilihan raya kali ini, beliau berkata, kekuatan jentera parti di peringkat akar umbi menjadi antara faktor penting dalam memastikan sokongan pengundi kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pendekatan mengenal pasti pengundi melalui senarai daftar pemilih di setiap ranting dan pusat mengundi telah dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan kadar keluar mengundi kekal tinggi, tambahnya.

“Kawasan ini (Asajaya) merekodkan kadar keluar mengundi antara 74 hingga 76 peratus dalam pilihan raya sebelum ini hasil kerjasama jentera parti, khususnya pergerakan wanita dan pemuda,” katanya. – IQHWAN HAMDAN/JIWA BAKTI