Pengiktirafan tanah NCR mesti berlandaskan undang-undang – Uggah

PADAWAN: Pengiktirafan Hak Tanah Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak perlu berpandukan undang-undang, bukan sekadar janji untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah dalam tempoh singkat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, masyarakat Dayak tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan kandungan Buku Biru Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang menurutnya boleh menimbulkan kekeliruan mengenai pengurusan dan pengiktirafan tanah adat.

Menurutnya, pindaan Kanun Tanah Sarawak pada 2018 melalui pengenalan Seksyen 6A membolehkan tanah komunal, termasuk Pemakai Menua dan Pulau Galau, mendapat pengiktirafan undang-undang selepas mengambil kira pandangan kira-kira 40 peguam Dayak.

“Melalui Seksyen 6A, Pemakai Menua dan Pulau Galau boleh digunakan untuk bercucuk tanam, memburu serta menjalankan aktiviti tradisional, selain boleh dimiliki oleh komuniti berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Gayu, di sini.

Uggah berkata, lebih 300 hektar tanah di Miri diberikan hak milik komunal, manakala 1.248 juta hektar tanah NCR di seluruh Sarawak disukat mengikut Seksyen 6, dengan kira-kira 979,000 hektar daripadanya diwartakan.

Beliau turut mempersoalkan janji pihak tertentu untuk menyiapkan kerja pengukuran semua tanah di Sarawak dalam tempoh lima tahun kerana negeri ini terlalu luas, dengan tanah NCR sahaja dianggarkan meliputi sekurang-kurangnya 2.5 juta hektar.

“Di DUN Tarat, sebanyak 13,000 hektar tanah disukat dan 9,500 hektar diwartakan, manakala 1,694 lot di bawah Seksyen 18 masih menunggu pengeluaran dokumen hak milik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan meneruskan kerja pengukuran tanah NCR secara berperingkat bagi memastikan hak masyarakat pribumi bukan sahaja diiktiraf, malah dilindungi melalui pemilikan yang sah di sisi undang-undang.