UNIFOR salur RM26.33 juta biayai 208 projek pembangunan

SIBURAN: Peruntukan sejumlah RM26.33 juta disalurkan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi membiayai 208 projek pembangunan rumah ibadat dan sekolah mubaligh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan itu merangkumi 119 projek UNIFOR bernilai RM16.28 juta serta 89 projek pembangunan sekolah mubaligh dengan kos RM10.05 juta.

Menurutnya, bantuan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pembangunan secara inklusif dengan memastikan keperluan masyarakat pelbagai kaum dan agama terus diberi perhatian.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.