Teknologi AI bakal dekatkan pesakit Sarawak dengan pakar perubatan dunia

MIRI: Jarak ribuan kilometer antara Sarawak dan Shanghai, China, tidak lagi menjadi penghalang kepada pesakit untuk mendapatkan konsultasi pakar perubatan sekiranya perancangan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan kesihatan dapat direalisasikan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, potensi itu sedang diteroka menerusi inisiatif yang dikaitkan dengan Universiti Fudan, China, bagi membolehkan pesakit berinteraksi dengan doktor secara maya tanpa perlu hadir ke pusat rawatan di luar negara.

Menurutnya, Pengasas dan Pengerusi Imasa Dinasti Sdn Bhd, Ar. Teo Ah Khing, mempunyai perancangan memperkenalkan pendekatan tersebut mengintegrasikan rekod kesihatan pesakit, analisis data dan AI dalam satu sistem perundingan perubatan.

“Melalui kaedah itu, maklumat kesihatan pesakit boleh diproses bagi membantu penilaian awal, manakala doktor sebenar tetap memainkan peranan menentukan kesesuaian hasil analisis serta nasihat perubatan yang diberikan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada perasmian Pusat Konvensyen dan Pameran Kenyalang One serta upacara pecah tanah Taman Tema Air Pengembaraan Borneo di Kenyalang Smart City (KSC), Senadin, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa interaksi berkenaan berpotensi menggunakan paparan digital menyerupai wajah doktor sebenar, termasuk Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, sekali gus mewujudkan pengalaman konsultasi yang lebih interaktif tanpa mengetepikan kepakaran profesional.

Pada masa sama, Abang Johari melihat usaha Universiti Fudan menggabungkan pendekatan perubatan Barat dan Timur sebagai perkembangan yang berpotensi memperluas pilihan rawatan.

Selain itu, menekankan kepentingan cip semikonduktor berprestasi tinggi dalam menyokong pemprosesan data berskala besar serta kemajuan AI dan robotik dalam sektor kesihatan.