PRU DUN Sarawak Ke-13: Keputusan PAS dipuji, serah kepada rakyat nilai PKR

KUCHING: Keputusan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 disifatkan sebagai langkah positif yang mencerminkan semangat setia kawan dalam hubungan politik.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan itu wajar dihargai kerana menunjukkan kepentingan menjaga hubungan baik dan persefahaman antara parti politik.

Menurutnya, hubungan politik tidak seharusnya berubah semata-mata kerana kepentingan pilihan raya.

“Kita tidak boleh hari ini berkawan, esok tidak berkawan.

“Apabila datang pilihan raya, kita menjadi lawan. Politik tidak sepatutnya begitu,” katanya ketika mengulas keputusan PAS untuk tidak meletakkan calon pada PRU DUN Sarawak.

Abdul Karim berkata, semangat kesetiaan yang sama diamalkan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada empat parti komponen.

Menurutnya, parti-parti dalam gabungan berkenaan sentiasa menghormati pembahagian kerusi dan tidak bertanding sesama sendiri, sama ada pada pilihan raya negeri (PRN) mahupun pilihan raya umum (PRU).

Beliau berkata, PAS sebelum ini dilaporkan berhasrat bertanding di tiga kawasan DUN di Sarawak.

Bagaimanapun, keputusan yang diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk tidak menyertai pilihan raya berkenaan disambut baik.

Katanya, keputusan tersebut menunjukkan kesediaan PAS mengutamakan hubungan politik meskipun persiapan awal untuk menghadapi pilihan raya dipercayai telah dilaksanakan.

Abdul Karim turut memaklumkan bahawa beliau menerima mesej daripada seorang pemimpin PAS yang menghargai pandangannya berhubung hubungan politik antara parti.

Sementara itu, mengulas kemungkinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding, beliau berkata, perkara tersebut masih belum dapat dipastikan.

Menurutnya, beliau mendapat maklumat mengenai kemungkinan PKR meletakkan calon, namun keputusan akhir bergantung kepada pendirian parti berkenaan.

Tegasnya, setiap parti politik mempunyai hak untuk menentukan penyertaan masing-masing dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya, hubungan politik akan berdepan cabaran apabila sesebuah parti mengambil keputusan untuk bertanding menentang parti lain.

“Apabila tiba hari penamaan calon dan sesebuah parti meletakkan calon, sudah tentu mereka akan menjadi lawan dalam pilihan raya,” katanya.

Abdul Karim berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat Sarawak untuk menilai dan menentukan sama ada PKR mempunyai sokongan sekiranya mengambil keputusan bertanding.

Katanya, sokongan pengundi akhirnya menjadi penentu kepada kedudukan mana-mana parti yang menyertai pilihan raya negeri itu.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI