KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah melahirkan kebimbangan Sarawak dijadikan laluan transit sindiket penyeludupan dadah berskala besar.
Beliau berkata, terdapat maklumat mengenai kemasukan dadah melalui Miri yang dipercayai bertujuan dihantar ke destinasi lain.
Bagaimanapun, katanya, belum dapat dipastikan sama ada dadah berkenaan hanya melalui Sarawak atau turut diedarkan dalam pasaran tempatan.
“Meskipun Sarawak hanya dijadikan laluan transit, kemungkinan sebahagian bekalan dadah memasuki pasaran tempatan tidak boleh diketepikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas tentang pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai penyalahgunaan kemudahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk pesawat tentera untuk menyeludup dadah.
Abdul Karim turut melahirkan rasa terkejut dan kecewa terhadap pendedahan sindiket dadah berkenaan.
Katanya, penglibatan anggota keselamatan dalam kegiatan jenayah merupakan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan untuk mempertahankan keselamatan negara.
“Kalau mereka yang berpangkat tinggi pun terlibat dalam perkara seperti ini, susah untuk negara kita maju.
“Undang-undang mesti dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbukti terlibat, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Beliau turut menegaskan kepentingan integriti dalam kalangan anggota keselamatan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara terus terpelihara. -NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
