Empat projek strategik tingkat kapasiti bekalan air Serian

SERIAN: Empat projek pembangunan bekalan air dengan anggaran kos keseluruhan RM1.005 bilion dicadangkan bagi memperkukuh sistem bekalan air di Bahagian Serian menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan bertujuan memperkukuh sistem bekalan air dan memastikan keperluan penduduk di Bahagian Serian dapat dipenuhi secara berterusan.

“Empat projek yang dicadangkan itu merangkumi pembangunan sumber air mentah bagi bekalan air Serian dengan anggaran kos RM200 juta.

“Kerja penambahbaikan dan naik taraf sistem bekalan air Serian melibatkan kos RM700 juta, manakala projek bagi kawasan Tebedu dan Bunan masing-masing dianggarkan bernilai RM70 juta dan RM35 juta,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Serian di Serian Conference Centre (SCC) di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan kenamaan yang lain.

Ujarnya, pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan dijangka memberi impak besar terhadap kelangsungan bekalan air jangka panjang di Bahagian Serian.

Ia turut bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran serta kecekapan loji rawatan air bagi memastikan bekalan air terawat mencukupi, stabil dan berterusan kepada pengguna.

Dalam ucapan sama, beliau menyampaikan harapan warga Serian agar cadangan projek berkenaan terus diberi perhatian dan dipertimbangkan dalam perancangan pembangunan negeri pada masa hadapan. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI