SERIAN: Sarawak bakal memperkukuh ekonomi digital menerusi pembangunan Kampus Kecerdasan Buatan (AI) di kawasan Samarahan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu mencerminkan usaha negeri menyertai ekonomi global yang semakin bergantung kepada AI, teknologi kuantum dan robotik.
“Dunia kini memasuki revolusi baharu apabila AI dan robotik memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor industri.
“Perkembangan itu membuka peluang kepada Sarawak meneroka industri teknologi tinggi, khususnya pembangunan mikrocip yang menjadi komponen penting dalam teknologi AI,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Serian di Serian Conference Centre (SCC) di sini, hari ini.
Ujarnya, masa depan ekonomi dunia bergantung kepada data pintar dan mikrocip berteknologi tinggi yang perlu diberi perhatian oleh Sarawak.
Sehubungan itu, Sarawak berhasrat membangunkan keupayaan sendiri dalam pengeluaran mikrocip serta memperluas penyertaan saintis tempatan dalam industri semikonduktor dan robotik.
Menurutnya, generasi muda perlu dilengkapi kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Tambahnya lagi, pendidikan percuma kerajaan negeri turut menjadi antara usaha memastikan lebih ramai anak Sarawak berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti tanpa kekangan kewangan.
Tegasnya, Sarawak perlu mempersiapkan ekonominya hingga tahun 2050 supaya mampu bersaing dan memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi global berasaskan teknologi. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI
