SERIAN: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghormati keputusan parti luar yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-13.
Ketika menjawab pertanyaan media mengenai perkembangan politik, beliau turut merujuk kepada perbincangan berkaitan parti-parti politik di media sosial sebelum menyifatkan persaingan berkenaan sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi.
“Ini demokrasi, kalau tidak bertanding, terima kasih, kalau bertanding kita lawan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Serian di Serian Conference Centre (SCC) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari turut berkongsi hala tuju pembangunan Serian yang dilihat mempunyai potensi untuk berkembang sebagai sebahagian daripada ‘Greater’ Kuching menerusi perancangan pembangunan jangka panjang kerajaan negeri.
Menurutnya, pembangunan Serian perlu melibatkan sektor awam dan swasta, khususnya dalam pertanian, pelancongan dan infrastruktur.
Beliau berkata, kerajaan negeri merancang membina laluan baharu bagi menghubungkan Serian dan Samarahan, sekali gus memendekkan perjalanan serta memudahkan akses kepada kemudahan awam.
Jelasnya, integrasi ekonomi Serian dan Kuching serta pembangunan Tanjung Embang akan menjadi tumpuan bagi merancakkan sektor pertanian dan pelancongan pada masa depan. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI
