KUALA LUMPUR: Kestabilan politik, kepimpinan berwawasan serta sokongan rakyat menjadi faktor utama yang memacu kemajuan ekonomi dan pembangunan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kesinambungan dasar pembangunan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut memperkukuh daya saing negeri melalui ekonomi digital dan hijau.
Menurutnya, kepimpinan Sarawak mempunyai visi jelas serta sentiasa mengutamakan keperluan rakyat dalam merancang pembangunan negeri.
“Pucuk kepimpinan Sarawak mempunyai visi yang jelas, memahami keperluan rakyat, sentiasa menyantuni denyut nadi rakyat.
“Sarawak bersikap terbuka dalam mendengar pandangan pelbagai pihak demi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama anak Sarawak sempena Program Abas Orang Kamek (AOK) 2026 Zon Lembah Klang di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Mengulas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Fadillah menegaskan Sarawak akan terus memperjuangkan haknya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, termasuk tuntutan supaya komposisi kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi satu pertiga.
Katanya, usaha itu penting bagi melindungi kepentingan kedua-dua wilayah, khususnya dalam perkara membabitkan pindaan Perlembagaan.
Sementara itu, beliau berkata rundingan antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) masih diteruskan bagi mencapai penyelesaian komersial berkaitan pengurusan industri minyak dan gas negeri.
Menurutnya, penyelesaian tersebut diharap dapat meningkatkan hasil Sarawak untuk dimanfaatkan bagi pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Fadillah turut menegaskan perjuangan hak Sarawak perlu diseimbangkan dengan kepentingan Persekutuan demi memastikan hubungan dan kerjasama kedua-dua pihak terus kukuh.
Dalam pada itu, beliau menggesa generasi muda Sarawak supaya terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan nilai diri bagi menghadapi cabaran masa depan.
“Legasi yang paling penting bukanlah legasi untuk diri sendiri, tetapi legasi yang kita tinggalkan kepada rakyat dan memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
