DARO: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.43 Daro diingatkan supaya meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Ketua Cawangan merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti PBB, Dr Safiee Ahmad berkata, langkah itu perlu melibatkan semua peringkat termasuk cawangan dan ranting serta Pergerakan Wanita, Pemuda dan Belia 1828.
Menurutnya, walaupun suasana menjelang pilihan raya kali ini dilihat agak tenang berbanding pilihan raya sebelumnya, jentera parti tidak boleh leka atau mengambil mudah persiapan menghadapi pilihan raya.
“Alhamdulillah, saya melihat semangat dalam kalangan ahli parti begitu baik sekali. Walaupun keadaan ketika ini agak sunyi berbanding sebelumnya, jentera parti dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak boleh leka, sebaliknya perlu terus bersedia untuk mencapai kemenangan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Konvensyen Khas Parti PBB Cawangan N.43 Daro dan Majlis Pelancaran Jentera PRU DUB Sarawak Ke-13 bagi DUN N.43 Daro di Dewan Masyarakat Daro, di sini, hari ini.
Safiee berkata, setiap ranting perlu memperkemas organisasi serta memastikan maklumat pengundi sentiasa dikemas kini bagi melancarkan gerak kerja kempen.
Katanya, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik turut memberi cabaran baharu berikutan pertambahan jumlah pengundi.
“Pilihan raya kali ini mungkin sedikit mencabar kerana jumlah pengundi bertambah susulan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran secara automatik.
“Justeru, setiap ahli khususnya di peringkat ranting dan cawangan perlu bekerja lebih keras untuk mendekati pengundi serta memastikan sokongan mereka terus bersama kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli parti supaya sentiasa mengekalkan perpaduan dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Menurutnya, pencapaian serta pelbagai inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg perlu diketengahkan kepada rakyat sebagai usaha memperkukuh sokongan terhadap GPS.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB N.43 Daro, Kaunselor Hamden Taha, Ketua Pergerakan Wanita, Mastiah Ahmad, Ketua Pergerakan Pemuda, Mohd Faizal Jamiluddin, Ketua Pergerakan Belia 1828, Mohd Haiqal Aiman Saadi, Setiausaha Cawangan, Kaunselor Mohd Suffian Fauzi serta Pengerusi SUPP Cawangan Daro, Tan Soon Kuang.
