GPS lancar jentera pilihan raya esok

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan melancarkan jentera pilihan rayanya esok 22 November, sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada jam 2.30 itu petang akan disempurnakan Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Selain ucapan dan pelancaran program oleh Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Presiden tiga parti komponen GPS lain akan menyampaikan amanat.

Mereka terdiri daripada Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP), Dato Sri Tiong King Sing, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Majlis turut menyaksikan lafaz ikrar oleh Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Antara acara utama ialah penyerahan bendera GPS oleh Abang Johari kepada wakil empat parti komponen dan penyerahan bendera itu akan diterima Timbalan Yang di-Pertua PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta presiden SUPP, PRS dan PDP bersama wakil pergerakan wanita, pemuda dan belia parti masing-masing.

Majlis pelancaran bertemakan GPS Utamakan Sarawak itu akan diakhiri dengan nyanyian lagu GPS Utamakan Sarawak dan jamuan.