KUCHING: Seramai 338 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai menerima surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, sekali gus memberikan pengiktirafan rasmi terhadap pemilikan tanah masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penyerahan surat hak milik itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah rakyat.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, seramai 77 penerima memperoleh surat hak milik tanah bagi kategori Kawasan Pembangunan Khas, manakala penerima lain melibatkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Beliau berkata, penyerahan surat hak milik tanah bukan sekadar penyempurnaan urusan pentadbiran kerajaan, sebaliknya memberikan kepastian serta perlindungan terhadap pemilikan tanah penduduk.
“Pengiktirafan ini memberi asas lebih kukuh kepada penduduk untuk merancang masa depan.
“Penerima dapat mengusahakan tanah secara produktif serta menyediakan warisan bernilai kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan DUN N.4 Pantai Damai, di Dewan Yayasan Sarawak di sini, hari ini.
Majlis penyerahan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak,Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Antara kampung yang menerima adalah Kampung Sungai Lumut, Kampung Buntal,Kampung Pasir Pandak, Kampung Pasir Panjang, Kampung Temedak dan Pembangunan Darul Hana.
Sementara itu, Abdul Rahman menambah, isu berkaitan tanah sentiasa menjadi antara keutamaan kepimpinan masyarakat di kawasan Pantai Damai.
Katanya, seminar kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang diadakan setiap tahun turut menjadi platform untuk membincangkan pelbagai isu tanah bersama agensi kerajaan berkaitan, khususnya Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Menurutnya, kerjasama berterusan antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan penduduk penting bagi memastikan setiap permohonan serta permasalahan tanah dapat ditangani secara teratur.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penerima surat hak milik supaya menjaga dan memanfaatkan tanah masing-masing dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan ekonomi serta kesejahteraan keluarga.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar serta Jabatan Tanah dan Survei Sarawak atas usaha berterusan menyelesaikan isu pemilikan tanah rakyat.-NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
