Pesta Belawai bantu lonjakan industri pelancongan

TANJUNG MANIS: Potensi Belawai sebagai destinasi pelancongan perlu terus diperkasakan menerusi tarikan pantai dan keunikan warisan budayanya.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Yusuf Abd Wahab berkata, kelebihan yang dimiliki kampung pesisir itu perlu dimanfaatkan bagi menarik lebih ramai pelancong, khususnya ke wilayah tengah Sarawak.

Menurutnya, penganjuran pesta seperti Pesta Belawai mampu memperkenalkan kawasan itu kepada masyarakat luar, selain membuka peluang kepada penduduk menjana pendapatan menerusi sektor pelancongan.

Bagaimanapun, katanya, usaha menarik pelancong perlu disokong dengan kemudahan mencukupi, kebersihan pantai dan aspek keselamatan yang sentiasa diberi perhatian.

“Keistimewaan Belawai bukan sahaja terletak pada keindahan pantainya, tetapi juga keramahan penduduk, makanan serta kehidupan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Pesta Belawai 2026, semalam.

Yusuf turut menggalakkan penggunaan platform digital dan media sosial bagi mempromosikan keunikan Belawai kepada khalayak lebih luas.

Pada masa sama, beliau mengingatkan generasi muda supaya bersama-sama memelihara alam sekitar dan warisan budaya bagi memastikan Belawai terus berkembang sebagai destinasi pelancongan.