DARO: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Salah Kechil kini menikmati persekitaran pembelajaran lebih kondusif apabila projek pembinaan blok kelas dan kuarters guru disiapkan sepenuhnya.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, projek dilaksanakan menerusi Cadangan Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak di bawah Peruntukan RM1 bilion (Fasa Tiga).
Katanya, projek Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan pelaksanaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan memastikan sekolah, terutama di luar bandar, mempunyai kemudahan yang lebih selamat dan berkualiti.
“Projek bernilai RM6.3 juta ini memberi manfaat kepada murid serta guru kerana kemudahan yang disediakan bukan sahaja lebih selesa, malah memenuhi keperluan pembelajaran dan pengajaran dalam suasana yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Serah Projek Siap SK Salah Kechil, hari ini.
Beliau berkata, skop pembangunan merangkumi sebuah blok bilik darjah baharu, dua unit kuarters guru berkembar jenis B serta blok tandas, selain kerja pendawaian elektrik, mekanikal dan kemudahan luar bagi melengkapkan keseluruhan prasarana sekolah.
Katanya, kemudahan baharu itu menggantikan struktur lama yang kurang sesuai, sekali gus menyediakan bangunan lebih kukuh dan selamat untuk kegunaan warga sekolah dalam tempoh jangka panjang.
“Lebih membanggakan, projek yang pada asalnya ditetapkan tempoh pelaksanaan selama 27 bulan berjaya disiapkan lebih awal,” katanya.
