Pembangunan baharu ubah landskap ekonomi Kuching

KUCHING: Landskap ekonomi Kuching dijangka mengalami perubahan menjelang 2035 hingga 2040 menerusi pembangunan industri semikonduktor, teknologi tinggi, infrastruktur serta sektor pelancongan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan industri baharu itu bakal membuka ribuan peluang pekerjaan, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan elektronik.

“Peluang pekerjaan akan bertambah dan kesan limpahannya juga akan meningkat.

“Sektor penjagaan kesihatan turut dijangka berkembang dan menjadi antara penyumbang kepada ekonomi Kuching pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching di Metrocity, Matang, di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, pembangunan infrastruktur pula merangkumi pembinaan jambatan yang menghubungkan Kuching dengan Lundu, universiti baharu di Trombol serta jalan raya berkembar dari Matang melalui Malihah hingga ke Batu Kawa.

Dalam sektor pelancongan, beliau mendedahkan bahawa syarikat kapal persiaran antarabangsa, Royal Caribbean, telah menghantar pasukan dari Singapura bagi meninjau potensi Kuching sebagai destinasi persinggahan kapal persiaran.

“Royal Caribbean dari Singapura menghantar pasukan mereka untuk melihat laluan dari Singapura ke Kuching.

“Dan mungkin akan terus ke Bali, dan satu lagi laluan dari Singapura ke Kuching, seterusnya ke Kota Kinabalu,” jelasnya.

Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak merancang membangunkan terminal kapal persiaran yang dilengkapi kemudahan imigresen dan kastam serta jalan penghubung ke kawasan pelancongan Damai.

Katanya, lokasi yang dikenal pasti mempunyai kedalaman air semula jadi sehingga 16 meter, sekali gus mengurangkan kos pembangunan serta keperluan kerja pengorekan.

Selain itu, projek menaik taraf Jalan Sultan Tengah kepada jalan raya berkembar kini dalam proses tender, dengan kerja pembinaan dijangka bermula pada 2027.

Menurut beliau, kedatangan kapal persiaran kelak berpotensi merancakkan sektor pelancongan menerusi pelbagai aktiviti termasuk bermain golf, mengunjungi Kampung Budaya Sarawak serta melawat bandar raya Kuching.