Calon muda GPS Beting Maro tekad bawa nafas baharu

KUCHING: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, Awang Nashfarani Awang Sarbini, bertekad memperkukuh pembangunan kawasan itu dengan memberi tumpuan kepada pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

Awang Nashfarani,38, berkata, keutamaan utamanya adalah memastikan setiap permasalahan rakyat diberi perhatian dan diselesaikan menerusi pendekatan turun padang.

“Saya mahu melihat pembangunan Beting Maro diperkasa khususnya dalam aspek pendidikan, kemudahan kesihatan dan peluang ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Senarai Calon GPS Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Ujarnya, peningkatan kos sara hidup merupakan antara cabaran yang turut dihadapi penduduk, justeru penyelesaian terhadap permasalahan rakyat perlu menjadi keutamaan.

Beliau turut bertekad meneruskan pendekatan mesra rakyat dengan menyantuni masyarakat serta memahami keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau merupakan Ketua Pemuda Parti PBB kawasan Beting Maro serta ahli Majlis Tertinggi (MT) Pergerakan Pemuda Parti PBB.

Sebelum menceburi bidang politik, beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengurus TH Plantation Berhad. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI