Pelancongan pemacu sosioekonomi rakyat Mukah

KUCHING: Sektor pelancongan akan terus diperkasakan bagi merancakkan sosioekonomi rakyat di kawasan Mukah.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian Royston Valentin berkata, industri itu berpotensi membuka peluang ekonomi serta menarik lebih ramai pengunjung dari luar Sarawak.

“Beberapa projek pelancongan yang dicadangkan pada penggal pertama kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Projek berkenaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan bangunan ikonik sebagai tarikan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Calon GPS bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

Keunikan budaya, makanan, pakaian dan tradisi tempatan juga akan diketengahkan bagi menarik kedatangan pelancong.

“Apabila ramai orang luar datang, ekonomi kita akan meningkat,” ujarnya.

Beliau turut mengajak rakyat menyokong kepimpinan GPS bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan Sarawak. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI