GEDONG: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha menyediakan kediaman berkualiti dan mampu milik kepada rakyat menerusi pembangunan perumahan di kawasan Gedong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan rumah berkenaan mampu memberikan nilai aset sekurang-kurangnya RM350,000 kepada keluarga walaupun ditawarkan pada harga RM150,000.
“Inilah pendekatan kita, aset yang dipunyai oleh keluarga mempunyai nilai tinggi walaupun pelaburannya setengah daripada nilai tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis LCDA Berambeh ke Gedong sempena sambutan ulang tahun ke-45 penubuhan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di Dewan Datuk Patinggi Ali, di sini, hari ini.
Jelasnya, kemudahan pembiayaan turut disediakan dengan kadar serendah satu peratus bagi membolehkan pembeli membuat pembayaran secara ansuran mengikut tempoh pinjaman yang bersesuaian.
“Pembiayaan rumah ini lebih fleksibel kerana pembeli boleh membuat pembayaran secara ansuran mengikut kemampuan masing-masing,” ujarnya. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI
