Oleh Kadir Dikoh
SEHARI sebelum Hari Penamaan Calon semalam, heboh di seluruh negara mengenai kemunginan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk kerajaan negeri hari ini, dengan andaian 44 kerusi berupaya menang tanpa bertanding.
Maklumat itu cuma berdasarkan pengumuman dibuat oleh calon pembangkang dan Bebas untuk bertanding di kawasan tertentu menentang GPS yang awal-awal lagi umum bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Keadaan itu juga memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk penelitian impilkasi dari segi perundangan andai GPS berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas berakhir proses penamaan calon.
Ini pula ditambah oleh keputusan beberapa parti politik untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Parti berkenaan termasuk BN, PKR, Amanah, PAS, Bersatu dan Wawasan. Keputusan tersebut mengubah komposisi persaingan di beberapa kawasan, sekali gus mengecilkan pilihan parti yang tersedia kepada pengundi.
Akhirnya, 29 kerusi dimenangi GPS tanpa dicabar hari ini dan ini diumumkan secara rasmi oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun sebaik proses penamaan calon ditutup.
Kini tinggal 53 kerusi DUN untuk ditandingi setelah GPS menyapu bersih 29 kerusi, kebanyakannya di kawasan Melayu-Melanau serta pesisiran.
Ini bermakna, GPS cuma perlu menang 12 kerusi DUN lagi untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah. Ini mungkin boleh dicapai seawal 6 petang pada 12 Disember nanti kerana ada kawasan pengundian terutama di luar bandar serta pedalaman ditutup lebih awal.
Begitu pun, keadaan kemenangan 29 kerusi hari ini dan lebih mudah membentuk kerajaan negeri nanti, ada implikasi negatifnya.
Ia mungkin menarik undi simpati kepada calon pembangkang dan Bebas dengan alasan kononnya ‘GPS sudah menang banyak’, ‘GPS mudah bentuk kerajaan nanti’ dan ‘berilah undi kepada calon pembangkang atau Bebas’.
Petugas jentera pilihan raya GPS perlu lebih berhati-hati dan mematahkan naratif seperti itu. Ini bermaksud semua petugas dan jentera pilihan raya di baki 53 kerusi lagi perlu mempertingkatkan usaha dan tidak mengambil sikap sambil lewa disebabkan banyak kerusi dimenangi tanpa dicabar.
Malah, jentera pilihan raya GPS di kawasan sebelah atau berjiran yang sudah menang tanpa bertanding, boleh tampil membantu.
Saingan tetap berlaku terutama di bandar dengan kehadiran DAP dan di luar bandar, dengan penampilan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS).
PBDS bertanding di 29 kerusi, diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) dengan 17 kerusi, DAP 14 kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) tiga kerusi dan ASPIRASI satu kerusi.
Dengan berakhirnya proses penamaan calon hari ini, setiap calon kini mempunyai peluang untuk mengetengahkan agenda dan aspirasi masing-masing bagi meraih sokongan pengundi.
Sebenarnya, dengan kemenangan tanpa dicabar GPS di 29 kawasan, mencipta rekod baharu dalam sejarah pilihan raya negeri, sekali gus memadam catatan 19 kerusi yang dipegang Barisan Nasional (BN) sejak 1996.
Pencapaian itu bukan sekadar mengatasi rekod terdahulu sebanyak 10 kerusi, malah memperlihatkan perubahan ketara dalam corak persaingan politik Sarawak sepanjang tempoh tiga dekad.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan kemenangan tanpa tanding 29 kerusi DUN itu sebagai petunjuk bahawa rakyat mahukan kestabilan bagi membolehkan agenda pembangunan diteruskan.
“Alhamdulillah, hari ini rakyat Sarawak berkehendakkan kestabilan untuk kita meneruskan usaha pembangunan. Apabila 29 kerusi kita menang tanpa bertanding, ini adalah tanda-tanda rakyat berkehendakkan kestabilan.
“Keduanya, pembangunan mesti adil kepada semua masyarakat, tidak kira latar belakang kaum dan juga latar belakang agama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program LCDA Berambeh ke Gedong sempena Ulang Tahun LCDA Ke-45 di Gedong, hari ini.
Kini, tumpuan beralih kepada kempen pilihan raya menjelang pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini.
- Kadir Dikoh adalah Editor Eksekutif / Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
