Kemenangan kerusi Pantai Damai bukti keyakinan rakyat

KUCHING: Kemenangan tanpa bertanding calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi, merupakan pengalaman pertama beliau sepanjang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak 2001.

Dr Abdul Rahman yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, kemenangan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam meneruskan agenda pembangunan dan memakmurkan negeri ini.

“Ini merupakan testimoni nyata terhadap keberkesanan kepimpinan Premier kita, Datuk Patinggi Abang Johari yang telah meletakkan asas pembangunan Sarawak untuk masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diumumkan menang tanpa bertanding di Pusat Penamaan Calon Dewan Merpati, TVETMARA Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuching, di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman hadir bersama isterinya, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, dengan diiringi kira-kira 500 penyokong.

Proses penamaan calon berlangsung selama sejam bermula 9 pagi hingga 10 pagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kemenangan tanpa bertanding itu merupakan pengalaman pertama sepanjang enam penggal perkhidmatannya sebagai ADUN.

“Sejak saya menjadi ADUN pada 2001, ini merupakan penggal keenam dan kali pertama saya menang tanpa bertanding,” katanya.

Dr Abdul Rahman merupakan antara 29 calon GPS yang diumumkan menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon PRU DUN Sarawak Ke-13.