SIMUNJAN: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Simunjan, Yusuf Chik, melahirkan rasa syukur selepas memperoleh kemenangan tanpa bertanding.
Beliau menyifatkan kemenangan itu bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya satu amanah dan kepercayaan besar yang perlu digalas demi kepentingan seluruh rakyat di kawasan Simunjan.
Yusuf turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), jentera parti, keluarga, sahabat serta seluruh masyarakat Simunjan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.
Beliau akan berusaha melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan, mendengar suara rakyat serta berusaha membawa pembangunan yang lebih baik kepada kawasan Simunjan.
Menurutnya, perjuangan selepas ini ialah memastikan masa depan Simunjan terus diberi perhatian.
“Ini bukan tentang saya, tetapi tentang masa depan Simunjan. Insya-Allah, kita bina Simunjan bersama-sama,” katanya kepada Jiwa Bakti.
Yusuf adalah antara calon muka baharu GPS. Beliau menghantikan Awla Driss yang tidak mempertahankan kerusi DUN N.25 Simunjan atas faktor kesihatan.
