PUSA: Kemenangan tanpa bertanding bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya amanah besar yang perlu dilunaskan.
Itu tekad calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Beting Maro, Awang Nashfarini Awang Sarbini.
Beliau yang diumumkan menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 berazam memastikan pembangunan kawasan itu terus diperkasa.
Katanya, keutamaan pertama selepas menerima mandat adalah turun padang bertemu rakyat bagi mendengar sendiri denyut nadi serta permasalahan penduduk.
“Saya telah diumumkan sebagai pemenang untuk kerusi DUN Beting Maro.
“Insya-Allah selepas ini saya akan turun padang dan berjumpa dengan rakyat, terutamanya untuk cuba menyelesaikan isu-isu penting yang telah disuarakan oleh rakyat terlebih dahulu,” katanya.
Beliau menegaskan suara rakyat akan menjadi asas dalam menentukan keutamaan pembangunan, khususnya isu yang memerlukan tindakan segera.
Dalam usaha itu, kerjasama dengan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta agensi kerajaan akan diperkukuh bagi memastikan setiap keperluan penduduk dapat disampaikan dan ditangani dengan berkesan.
Awang Nashfarini turut memberi jaminan kesinambungan pembangunan yang dirintis kepimpinan terdahulu akan diteruskan, selain menambah baik perkara yang masih mempunyai kekurangan.
“Apa yang baik daripada usaha bekas ADUN terdahulu kita akan teruskan, manakala apa yang masih kurang akan kita cuba perbaiki supaya menjadi lebih baik,” ujarnya.
Mengulas kemenangan tanpa bertanding, beliau mengakui tidak menjangkakan perkembangan itu, namun sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang proses pilihan raya.
Beliau menyifatkan sokongan diterima sebagai bukti perpaduan rakyat Beting Maro serta kepercayaan yang cukup besar untuk dipikul sebagai wakil rakyat baharu.
“Saya sangat berbangga kerana sokongan hari ini menunjukkan rakyat Beting Maro bersatu padu dan memberikan kepercayaan kepada saya untuk menerajui DUN N.29 Beting Maro.
“Saya tidak akan mensia-siakan kepercayaan rakyat kepada saya,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Beting Maro dan berjanji akan berusaha sedaya upaya membawa pembangunan serta memperjuangkan kepentingan penduduk tanpa mengira latar belakang.
Turut hadir memberi sokongan ialah Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, bekas Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim serta bekas ADUN Beting Maro, Dato Razaili Gapor.
